Di bawah bimbingan seorang lelaki Scotland yang kini memeluk Islam, sekumpulan penganut Islam di Indonesia kini memilih berdagang menggunakan syiling emas dan perak berbanding wang kertas dalam urusan seharian.
Mereka adalah pengikut Sheikh Abdalqadar as-Sufi yang satu ketika dulu dilahirkan dengan nama Ian Dallas.
Semua transaksi dagangan membabitkan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan kad prabayar dilakukan menggunakan syiling dinar emas atau dirham perak.
Amalan itu turut dijalankan dengan peraturan syariahketat.
Pandangan mereka terhadap amalan ekonomi ternyata terpaksa bersaing dengan sistem kapitalisme yang menguasai seluruh struktur kewangan dan politik di Indonesia.
"Sejarah membuktikan sejak ratusan tahun lalu nilai sekeping dinar emas bersamaan dengan harga seekor kambing," kata peniaga runcit, Kurniawati.
Berharap dapat mencontohi sunnah Nabi dan generasi sahabat, wanita berusia 33 tahun itu adalah sebahagian daripada pengikut Sheikh Abdalqadar yang menjalankan transaksi dagangan menggunakan syiling emas dan perak.
Kumpulan itu turut mendesak kerajaan dan mungkin seluruh kerajaan Islam di dunia supaya mula menggunakan mata wang itu bagi menggantikan wang kertas.
Seperti kata Sheikh Abdalqadar, amalan itu perlu diteruskan sehingga penguasaan sistem kewangan kafir ke atas dunia Islam berakhir.
Wakala Induk Nusantara (WIN) menjadi badan bertanggungjawab mengawal pengeluaran dan pengedaran dinar di Indonesia.
Pegawai WIN, Riki Rokhman Azis, berkata syiling emas dan perak keluaran Indonesia turut beredar di Australia, Malaysia dan Singapura.
"Kami memutuskan untuk mengeluarkan wang emas dan perak ekoran fatwa Sheikh Abdalqadar di Cape Town, Afrika Selatan yang mengharamkan umat Islam menggunakan wang kertas," katanya.
Bekas penulis skrip dan pelakon, Abdalqadar memeluk Islam pada akhir 1960-an selepas bosan dengan sistem kapitalisme yang mencengkam hidup manusia.
Disebabkan kesedarannya itu, dia berazam mengembalikan perundangan diamalkan pada zaman Nabi Muhammad dan sahabat.
Ia termasuk sistem perdagangan diamalkan pada abad ketujuh terutama kewajipan berzakat menggunakan dinar emas atau dirham.
Kegawatan ekonomi akibat keruntuhan sistem pergadaian dan pasaran saham Amerika Syarikat mengesahkan pandangan Sheikh Abdalqadar bahawa sistem kewangan Islam terbukti lebih stabil.
Beliau juga yakin pada akhirnya sistem kewangan Islam akan muncul menjadi satu-satunya pilihan terbaik dalam dunia.
Dalam entri di blognya pada 7 Februari lalu, Sheikh Abdalqadar berkata, kegawatan global menjadi detik bersejarah terhadap berakhirnya kapitalisme.
Barat pula, katanya, menggunakan alasan ancaman pengganas untuk mengalih perhatian warga dunia terhadap realiti ekonomi semasa.
"Tiba masanya seluruh penduduk dunia berani mengecam ejen kapitalisme yang bebal dan mempelajari hakikat Islam," katanya.
Sementara itu, Kurniawati berkata, sekurang-kurangnya empat pelanggannya membayar barangan dibeli menggunakan dinar setiap minggu.
"Kebanyakan mereka membeli beras, minyak masak, sabun dan pakaian," katanya.
Dia mula meyakini keberkesanan dinar dan dirham selepas menerima mas kahwin daripada suaminya dalam bentuk kepingan emas lapan tahun lalu.
Katanya, sekeping syiling emas bernilai RM146.98 pada 2002, tetapi kini meningkat kepada RM532.79.
Pemerhati juga yakin nilai emas tidak akan merosot walaupun nilai mata wang menurun 14 peratus sejak tahun lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment